VENU
Alat muzik ini diperbuat daripada buluh dan merupakan salah satu daripada alat muzik yang tertua di India. Untuk memainkan alat muzik ini, jari ke dua-dua tangan digunakan untuk menutup dan membuka lubang pada venu. Venu ini boleh didapati dalam pelbagai saiz. Venu berkait rapat dengan Tuhan Hindu Krishna yang selalu digambarkan sedang memainkan alat ini dibibirnya. Alat muzik venu ini boleh menghasilkan bunyi dua setengah oktaf yang bersifat monofoni seperti suara manusia. Dalam memainkan alat muzik ini, jari amat berperanan penting dalam menutup dan membuka lubang agar menghasilkan bunyi yang menarik dan penting dalam persembahan berdasarkan muzik raga.
NADASWARAM
Nadaswaram merupakan alat muzik klasik yang terkenal di selatan India. Alat muzik ini tergolong dalam keluarga erofon atau tiupan bukan loyang yang mempunyai bunyi terkuat didunia. Alat muzik ini mempunyai persamaan dengan alat tiupan Shehnai yang terdapat di utara India tetapi memiliki saiz yang lebih besar dengan badannya diperbuat daripada kayu teguh dan loceng yang besar. Alat ini juga ada yang diperbuat daripada kayu atau logam, mempunyai tujuh lubang pada badannya, dan lima lubang yang terdapat pada bahagian bawahnya yang dianggap sebagai lubang pengawal bunyi.